Thursday 12 May 2011

Rasuah



Rasuah merupakan suatu jenayah atau kesalahan undang-undang dimana seseorang mendapat kebebasan, kontrak atau keistimewaan (favours) dari pihak berkuasa atau sesebuah syarikat selepas memberi wanghadiah, keraian kepada pihak-pihak tersebut. Menurut Badan Pencegah Rasuah Malaysia terdapat empat kesalahan rasuah yang utama iaitu menerima rasuah,Memberi Rasuah,Membuat Tuntutan Palsu dan Menyalahguna Jawatan.
Pemberian rasuah jika tidak dibendung akan mengakibatkan banyak masalah sosial kerana undang-undang tidak akan dipatuhi dengan sepenuhnya. Maka kegiatan jenayah dan ketidakadilan akan berleluasa.

Sebagai rakyat, kita cukup gembira dengan pembentukan suruhanjaya ini, selepas melihat gejala rasuah dan penyelewengan yang merebak dalam masyarakat sehingga menjejaskan imej kerajaan dan membantutkan pembangunan negara. Kita yakin SPRM yang mengambil pendekatan dilaksanakan Pentadbiran Hong Kong dalam mencegah rasuah selama 30 tahun, akan beroleh kejayaan berikutan gejala rasuah di negara ini masih pada tahap terkawal. Dengan lebih 5,000 kakitangan SPRM yang diberikan latihan dalam aspek pembanterasan dan pencegahan rasuah, hasrat kerajaan untuk menghapuskan gejala itu sudah pasti mampu dicapai, terutama dengan sokongan seluruh rakyat.

Malah, cadangan untuk mewujudkan satu mahkamah khas bagi mendengar dan membicarakan kes rasuah yang berlaku di negara ini menunjukkan komitmen tinggi kerajaan membanteras rasuah dan penyelewengan sehingga ke akar umbi. Begitu juga Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang turut dibahaskan di Parlimen bakal memantapkan lagi institusi berkenaan selepas terjejas teruk berikutan krisis kehakiman yang melanda sebelum ini. Kita berharap semua pihak terus memberi sokongan padu kepada usaha kerajaan bagi memantapkan lagi pentadbiran supaya tadbir urus yang dijalankan telus dan memanfaatkan rakyat.

Pentadbiran telus dan berwibawa amat penting bagi membawa negara ini melepasi halangan dan krisis ekonomi yang tidak nampak penghujungnya. Jadi menerusi rang undang-undang bersejarah ini, semua pihak perlu melihat ke depan untuk bersama berganding bahu dengan kerajaan dalam mencapai Misi Nasional negara.

Gejala Sosial



Gejala sosial yang melibatkan golongan remaja bukan sahaja menimpa remaja kelas bawahan, malahan membabitkan kelompok remaja kelas menengah dan atasan. Pada umumnya, gejala ini timbul kerana golongan remaja tidak mempunyai tempat mengadu dan tidak diurus dengan saksama lagi bijaksana.
Sesetengah ibu bapa harus mengakui bahawa mereka tidak mempunyai kemahiran dalam mendidik anak-anak. Kemahiran mengasuh meliputi kefahaman terhadap jiwa remaja, menangani kesihatan mental dan emosi anak-anak muda serta penguasaan terhadap perkembangan terkini. Mereka perlu dididik bahawa jiwa remaja kini tidak sama dengan jiwa mereka sewaktu remaja. Interaksi dengan anak-anak tidak lagi bersifat sehala. Pandangan bahawa `ibu dan bapa kemudian anak-anak’ tidak lagi terpakai. Sebaliknya ibu bapa perlu memahirkan diri menjadi `rakan anak-anak’. Kemahiran mendengar dan berbincang dengan anak-anak perlu dipupuk. Konsep membuat keputusan untuk anak remaja juga tidak lagi boleh diamalkan. Sebaliknya gaya berbincang nyata lebih berkesan.

Ibu bapa harus peka dan membantu remaja dalam memahami perubahan fizikal dan seksual mereka. Mereka perlu dibantu apabila terdapat ledakan kebolehan intelektual. Perubahan tersebut mendorong remaja membebaskan diri daripada kongkongan ibu bapa dan sebaliknya mereka mahu membina jati din sendiri. Pendidikan daripada alam kanak-kanak kepada remaja menjadikan emosi dan psikologi mereka mulai bebas.

Guru di sekolah pula bukanlah sekadar pembimbing akademik, tetapi harus menjadi rakan kepada remaja. Guru yang diingati oleh remaja ialah guru yang boleh dibawa berbincang dan sama-sama menyelesaikan masalahnya. Guru yang hanya memerintah akan diingati sebagai `pemerintah’ dan tidak didekati. Hasilnya, arahan akademik bukan sahaja tidak dipatuhi, bahkan mewujudkan pemberontakan antara pelajar dengan gurunya. Ini pula akan menyebabkan pelajar tidak mempunyai minat terhadap proses pembelajaran.

Pihak berkuasa pula tidak boleh mengharapkan remaja menjauhi kehidupan bebas dan liar, tetapi pada masa yang sama turut menyediakan ruang untuk perkara seperti minuman arak, seks bebas dan penagihan pil ecstacy berlaku dengan mudah. Persekitaran tidak sihat hares dibanteras, seiring dengan usaha pembentukan remaja itu sendiri. Gejala remaja gemar menonton video lucah misalnya, tidak boleh dituding semata-mata kepada ibu bapa dan guru.

Media pula mesti mengawal penyiaran secara eksklusif dan besar-besaran tentang keruntuhan akhlak remaja tanpa membantu untuk mengawalnya. Sebaliknya remaja yang berjaya mesti sering ditonjolkan di media massa sebagai motivasi untuk diteladani. Hal-hal mengenai kreativiti remaja mesti sering diperbanyak berbanding liputan mengenai aksi dan perangai negatif mereka.

Sesungguhnya, pelbagai gejala negatif berleluasa di kalangan remaja hari ini. Oleh itu, semua pihak perlu bekerjasama membanteras fenomena ini agar tidak timbul masalah sosioekonomi yang lebih serius.

Kes Buli



Buli ialah merupakan satu bentuk penyalahgunaan (abuse). Buli boleh berlaku dalam bentuk langsung (direct) seperti ejekan, ugutan, tekanan atau tindakan fizikal. Selain itu, buli juga boleh berlaku dalam bentuk yang tidak langsung (indirect) yang menyebabkan seseorang pelajar terpinggir dari kawan-kawannya.
Isu kes buli dan gangsterisme di sekolah telah menimbulkan suasana yang tidak selamat di sekolah. Hampir setiap hari di setiap sekolah di serata dunia akan menghadapi masalah dalam kes disiplin pelajar-pelajar mereka . Kes yang paling popular ialah kes buli. Di Malaysia kita boleh lihat sendiri gejala buli berlaku dalam sesebuah komuniti . Kes ini telah menimbulkan kebimbangan di kalangan masyarakat khususnya para ibu bapa.

Hal ini dapat dibuktikan dengan peristiwa kematian pelajar Mohd Hadzrin Mohamad setelah koma lapan hari akibat dibelasah sekumpulan remaja berhampiran sekolah di Cheras gara-gara berebut kekasih, meninggal dunia pada 21 Februari 2009.
Banyak faktor yang mempengaruhi kes buli ini antaranya masalah disiplin yang semakin merosot di kalangan pelajar, kelemahan peraturan sekolah dan sikap tanggungjawab guru terhadap pelajar, sistem sekolah yang terlalu mementingkan pencapaian akademik dan mengenepikan aspek sukan, kokurikulum, pembinaan sahsiah dan kerja berpasukan.

Rentetan dari peristiwa itu, timbul pelbagai cadangan sama ada dari jabatan kerajaan, individu atau pertubuhan bukan kerajaan mengenai langkah-langkah yang pelu diambil bagi mengatasi masalah ini. Antara pendekatan yang boleh diambil ialah melengkapkan pelajar dengan skil komunikasi sosial yang baik. Beberapa skil komunikasi sosial yang diperlukan ialah pengurusan konflik (conflict resolution), pengurusan kemarahan (anger resolution), skil asertif (assertive skills) dan skil perundingan (negotiation skills). Setiap sekolah juga perlu menganjurkan program khas pembentukan peribadi pelajar sebagai usaha menangani gejala buli yang semakin menular.


Telefon Bimbit



Telefon Bimbit (juga dikenali sebagai telefon tangan, telefon selular, telefon tanpa wayar)merupakan peranti eletronik, mudah alih, jarak dekat yang digunakan sebagai alat perhubungan suara atau data melalui jaringan stesyen pengkalan yang dikenali sebagai tapak sel. Sebagai tambahan kepada fungsi suara piawai seperti telefon, telefon bimbit kini mampu menyokong banyak perkhidmatan GSM tambahan, dan mempunyai ciri telefon bimbit tambahan, seperti khidmat pesanan ringkas SMS bagi perutusan teks, surat-e, penukar paket bagi capaianInternet, permainan, bluetooth, infrared, kamera dengan perakam video dan Khidmat Pesanan Multimedia (‘’Multimedia Messaging Service – MMS’’) bagi menghantar dan menerima gambar dan video.


Sejak dipasarkan secara komersial kira-kira 10 tahun lalu, telefon bimbit mengalami perkembangan pesat dengan lebih 15 juta pengguna diMalaysia pada 2004, berdasarkan kajian yang dibuat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).Daripada jumlah itu 61.1 peratus pengguna telefon bimbit adalah lelaki, manakala 38.9 peratus adalah perempuan.
Dari situ wujudlah beraneka bentuk teknologi telefon bimbit bermula dari teknologi Sistem Global Komunikasi Mudah Alih (GSM), dilengkapi pula WAP / GPRS sehinggalah ada yang boleh memuat turun muzik, dihubungkan ke Internet serta merakamkan gambar secara pegun atau visual.


Telekom Malaysia (TM) memperkenalkan perkhidmatan telefon bergerak ATUR (Automatic Telephone Using Radio) 450 pada Mei 1985, telefon bimbit sudah menjalani evolusi yang begitu pantas, dari segi teknologi dan reka bentuknya.Telefon bimbit menghantar dan menerima isyarat radio dengan beberapa stesyen pengkalan tapak sel yang dilengkapi dengan radio gelombang mikro. Tapak ini biasanya dipasang pada menara, tiang atau bangunan, dan terletak di seluruh kawasan berpenduduk, kemudian dihubungkan kepada system suis dan jaringan komunikasi berkabel. 


Isu-isu semasa


Terengganu dan Pahang akan berentap dalam saingan separuh akhir pertama Piala FA 2011 malam esok di Stadium Darul Makmur dengan kedua-dua pasukan sudah pasti inginkan kemenangan selesa bagi dibawa ke perlawanan timbal balik pada 16 Mei ini.Terengganu yang beberapa musim tersekat di peringkat separuh akhir, ingin meloloskan diri daripada peringkat ini setelah kali terakhir layak ke perlawanan akhir Piala FA musim 2004.Secara kebetulannya, kemaraan ke akhir pada tahun tersebut juga mengalahkan Pahang di peringkat separuh akhir.Mampukah Terengganu menyekat kegarangan Pahang di gelanggang mereka seterusnya membawa bekalan selesa balik ke Std. SUltan Ismail Nasiruddin Shah bagi perhitungan terakhir sebelum ke perlawanan akhir.

Peledak berbisa Terengganu,Abd.Hadi Yahya sekali disandarkan harapan untuk terus memburu gol.Padanya disandarkan harapan untuk menjaringkan seberapa banyak gol dan sentuhannya pasti akan memberikan sesuatu yang berharga nanti.Rakan serangan,Abd.Manaf Mamat yang kembali menemui sentuhan setelah menjaringkan 5 gol dalam 3 perlawanan terakhir juga ingin memberikan sumbangan yang berharga untuk pasukan.Semangat yang membara ditunjukkan oleh anak muda itu seharusnya menjadi debaran untuk benteng Pahang menghadapi rembatan dan tendangan deras daripada anak jati K.Terengganu itu.Ismail Faruqi, jeneral tengah yang kini semakin diharapkan semestinya akan terus diberi kepercayaan untuk mengemudikan jentera tengah Terengganu.


Para pemain Terengganu menunjukkan kekuatan mental yang mungkin membolehkan mereka memenangi kejuaraan Liga Super buat kali pertama dalam sejarah apabila mengejar dari belakang dalam perlawanan menentang pasukan tercorot Liga Super musim ini, Perlis semalam.
Sang Penyu yang dilihat sebagai pasukan pilihan untuk menang dalam perlawanan tersebut tidak dapat bermain pada tahap sebenar, mungkin membuktikan kata-kata Ketua Jurulatih, Irfan Bakti bahawa dia tidak mempunyai 'strength in depth' dalam skuadnya yang membolehkan dia membuat 'rotation'  untuk membolehkan pemain mendapat rehat dalam menghadapi jadula liga yang ketat.





Banjir di Malaysia


 Keadaan banjir di beberapa buah negeri semakin buruk apabila meragut tiga nyawa hari ini masing-masing dua di Johor dan seorang di Melaka.Keadaan banjir yang dilaporkan di Johor semalam juga semakin merebak ke beberapa buah negeri lain termasuk di Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan.Beberapa buah pusat pemindahan mangsa banjir di kesemua negeri tersebut juga mula menerima mangsa-mangsa banjir dan jumlahnya semakin meningkat sehingga petang ini.

 Di JOHOR, seramai 39,304 penduduk negeri ini terpaksa dipindahkan ke 241 pusat pemindahan sementara apabila kediaman mereka dilanda banjir hari ini.

Hujan lebat berterusan sehingga tahap amaran merah oleh Jabatan Meteorologi menyebabkan paras air di kebanyakan sungai di negeri ini telah mencecah paras bahaya termasuk Sungai Segamat, Sungai Muar, Sungai Bekok dan Sungai Mengkibol.
Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, bencana banjir kini berada pada tahap serius namun pihaknya telah menggerakkan setiap jentera kerajaan untuk membantu penduduk yang terlibat.

Di NEGERI SEMBILAN pula, Seramai 4,198 penduduk di beberapa daerah sekitar negeri ini dipindahkan malam tadi hingga lewat petang ini berikutan hujan lebat tanpa henti sejak dua hari lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana negeri, Datuk Mat Ali Hassan berkata, jumlah berkenaan meningkat sejak petang ini apabila beberapa kawasan masih lagi dilanda banjir berikutan paras Sungai Muar dekat daerah kecil Gemas naik mendadak.

Di PAHANG, seramai 690 orang dipindahkan ke 13 pusat pemindahan sementara berikutan hujan lebat dan banjir di empat daerah negeri ini hari ini.Antara kawasan terjejas adalah Raub, Bentong, Maran dan Rompin.
Selain itu beberapa laluan utama turut ditutup kepada semua kenderaan berikutan jalan terbabit dinaiki air antara 0.5 hingga dua meter.

Di MELAKA, seramai 2,014 orang daripada 510 keluarga di Jasin dan Alor Gajah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara apabila kediaman mereka dinaiki air setinggi 0.2 hingga 0.4 meter berikutan hujan lebat sejak semalam hingga hari ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, kawasan yang teruk dilanda banjir ialah Asahan dan Simpang Bekoh di Jasin manakala Taman Seri Bayu, Rembia serta Seri Pengkalan di Alor Gajah.